Jika
ditanya kepadaku akan kekerapan ibuku memarahi dan memberi “ganjaran” atas
kenakalan di zaman kanak-kanakku, tidak ku pasti akan bilangannya. Kerana tidak
terkira bilangannya membuatkan aku tidak mampu untuk menghitungnya.
Namun jika ditanyakan perihal arwah
ayahku dalam soal mendidik anak-anaknya, aku cukup yakin dan pasti, sedari
kecil sehingga kali terakhir hidup bersamanya, hanya sekali sahaja tangannya
diangkat dalam memberi pengajaran kepadaku.
Yup, hanya sekali, namun cukup untuk
memberi pengajaran bagi seumur hidupku.
Marahnya seringkali dipendamkan
bersama bisu tutur bicaranya. Resah gelisahnya pula acapkali disandarkan pada
renungan panjang seorang diri. Sukar sekali memahami dan menyelami apa yang
terbendung di dalam benaknya.
Tentunya kami yang hidup dalam
keadaan serba-serbi kekurangan, kekayaan kepada kebendaan tidak pernah menjadi
igauan kami, malah lagi diajarkan pula bagaimana meneruskan kelangsungan hidup
di dalam jerut kemiskinan.
Menjadi kelaziman buat dirinya akan sentiasa
memastikan sebelum poketnya kering, kantung-kantung makanan di rumah dipenuhi secukupnya.
Padanya, biar dia tidak mewah pada kebendaan, tapi jangan sampai meminta-minta
dan menyusahkan orang lain dalam soal mengisi perut keluarganya.
Sengaja secebis kenangan dan pedoman
ini dicoretkan dalam nukilan ini. Sudah hampir genap setahun akan
pemergiaannya. Namun, masih segar di ingatanku akan detik-detik kali terakhir
bersamanya.
Perginya di penghulu hari
sepertimana yang dia idamkan dan disebut-sebutkan tatkala saat-saat akhir
menahan gering. Di paginya, kali terakhir aku mewakilinya untuk mengambil
keputusan peperiksaan adik bongsuku di sekolah lamaku.
![]() |
Kredit Foto: Norsaadah Abdullah (Facebook) |
Bertemu dengan para pendidik yang banyak membentuk diriku sehingga ke tahap ini cukup mengujakan. Tidak kurang juga, ada yang bertanyakan keadaan ayahku ketika itu lantaran keprihatinan mereka terhadap pretasi adik bongsuku bagi menghadapi peperiksaan penting dalam hidupnya.
Usai menguruskan perihal di sekolah,
kami pulang meneruskan rutin harian seperti biasa. Ketika itu sudah seminggu
keberadaanku di Ipoh atas nekad untuk berhenti kerja di Kuala Lumpur demi
memberi khidmat kepada keluarga terutama kepada arwah ayahku yang kian sarat
kesakitannya.
![]() |
Di saat kali pertama memiliki kerusi roda sendiri. |
Masih aku ingat, tatkala sedang enak menjamah makanan, aku terdengar ayahku memanggil dari kamar tidurnya. Geringnya kembali dan tampak semakin mendesahkan. Aku cuba menenangnya, namun keadaannya tetap sama.
Di saat itu, ibuku tampil dan
memberikan ubat bagi menahan sakit yang dialaminya. Tanpa sebarang bantahan,
ayahku bersetuju untuk menelannya lalu aku cuba mengampunya dalam keadaan duduk
agar lebih mudah baginya untuk menelan ubat.
Hanya sekali teguk sahaja, tiba-tiba
aku merasakan badannya seakan-akan longlai dan matanya memandang ke atas
seolah-olah tercekik. Beberapa kali aku cuba memanggilnya namun tiada sebarang
tindak balas darinya. Kami berusaha sedayanya untuk memulihkan keadaannya namun
tidak berhasil sehinggalah dia disahkan meninggal dunia sekitar jam 12
tengahari.
Cuaca ketika itu seolah-olah memahami
akan rundungnya hati ini melalui detik sebegini. Gerimis hujan tidak
henti-henti membasahi bumi sehingga arwah ayahku selesai dikebumikan
seakan-akan turut sama meratapi akan pemergiaannya
Aku redha meskipun terlalu banyak
perkara yang membuatkan aku terkilan sehingga kini. Konvokesyen tanpanya di
sisi, mewalikan pernikahan kakakku tanpa dia berhadapan dengan bakal
menantunya, Raya Aidilfitri dan Aidiladha tanpa bersalaman dan memohon kemaafan
adalah antara kejanggalan yang tidak pernah aku duga selama ini.
Buat saudara-mara serta sahabat yang
sering mendoakannya, tiada ganjaran setimpal yang dapat membalas jasa kalian melainkan
Allah jualah yang membalasnya. Moga rohnya dicucuri rahmat dan sentiasa tenang
berhadapan dengan penciptanya.
Al-Fatihah
sekudusnya buat ayahanda,
Mohammad
Mazland bin Abdul Rashid
(31/03/1958
-29/09/2017)
-09/09/2018-
No comments:
Post a Comment