Terdapat satu hadis Nabi yang cukup
tidak asing lagi pada pendengaran kita, yang membicarakan tentang kelebihan
terlibat dengan perniagaan.
Selama ini, saya sering
mendefinisikan perkataan rezeki itu sebagai keuntungan, kekayaan serta hasil
berlipat ganda yang datangnya daripada titik peluh serta keringat daripada
aktiviti perniagaan.
Namun, kini saya mula sedari,
definisi saya selama ini kurang tepat. Nilai makna aksara rezeki itu sendiri
mempunyai nilai kandung maksud yang cukup besar.
Karya M. Fahim Khan dan Noor
Muhammad Ghifari dalam sebuah artikel yang bertajuk “Shatibi’s Objectives of
Shari’ah and Some Implications for Consumer Theory” (Objektif Shariah Shatibi
dan Implikasi kepada Teori Pengguna) sedikit sebanyak mengubah sarwa pandang
saya mengenai hadis ini.
Di dalam konsep ekonomi konvensional
yang dipelajari pada awal semester, apabila mula bergelar sebagai mahasiswa,
saya didedahkan dengan konsep ketidakcukupan (scarcity).
Bagi memenuhi kemahuan serta
kehendak yang tiada batasan (unlimited wants), kekurangan sumber (limited
sources) menjadi batu penghalang kepada tujuan tersebut.
Akhirnya, berlaku pilihan dalam
memenuhi kehendak dengan memanfaatkan sumber bekalan yang ada.
Inilah konsep ekonomi yang cukup
asas dipelajari ketika bergelar pelajar asasi dahulu.
Ditambah pula dengan pembacaan yang
terhad serta kurang minat dalam meneroka lebih mengenai ilmu bidang ekonomi ini
membuatkan pemahaman saya berada di tahap yang sama selama beberapa tahun ini.
Pernah juga saya menemukan di dalam
subjek “Foundation of Islamic Economic” yang mengatakan bahawa, penggunaan
sumber, dari sudut pandangan Islam, sebenarnya tidaklah terhad sepertimana yang
saya pelajari pada awalnya.
Namun, perbezaan ideologi ini
tidaklah saya kaji secara mendalam demi mengurangkan keserabutan yang timbul
hasil daripada percanggahan ini.
Penerokaan pada kali ini sedikit
berbeza.
Saya sendiri tidak pasti, apakah
daya penarik utama yang menyebabkan saya cuba memahami pendekatan yang
dijelaskan dalam artikel milik M. Fahim Khan dan Noor Muhammad Ghifari ini.
Artikel mereka berdua banyak
membicarakan tentang Maqasid al-Shariah yang diulas secara terperinci oleh Imam
al-Shatibi dan mengaitkan konsep ini dengan sifat serta kelakuan pengguna atau
pembeli.
Saya tidak berniat untuk mengulas
lanjut mengenai Maqasid al-Shariah ini kerana terlalu banyak sumber yang boleh
diperolehi untuk mengetahui kandungannya.
Namun begitu, saya cukup berminat
dengan konsep perbahasan mengenai kelakuan pengguna yang diutarakan dengan
jelas dalam artikel ini.
Dengan laras bahasa Inggeris yang
mudah, tidak terlalu sukar untuk memahami keseluruhan teks artikel ini.
Di dalam artikel ini, Imam
al-Shatibi mengulas persoalan berkaitan dengan masalah ekonomi manusia (economic
problem of man) yang dibahagikan kepada tiga cabang persoalan iaitu apa yang
nak dihasilkan (what to produce), bagaimana untuk menghasilkannya (how to
produce) dan untuk siapa dihasilkan (for whom to produce), dalam pengulasan
yang cukup berbeza dengan pemahaman saya sebelum ini.
Ekonomi konvensional secara alami
menyasarkan soal kecekapan (efficiency) dalam merungkai permasalah ekonomi
manusia.
Berbeza dengan ekonomi Islam,
kecekapan bukan perkara pokok dalam menjawab persoalan tersebut, tetapi meletakkan
peranan memenuhi keperluan (fulfilling needs) sebagai asas jawapan kepada
persoalan ini.
Ternyata apabila berbicara mengenai
keperluan asas yang perlu dipenuhi, secara automatik, soal kehendak menjadi
perkara kedua yang hadir selepas keperluan.
Apabila mengungkap soal melengkapi
perkara asas menjadi yang utama, mahu tidak mahu, kebaikan (maslahah) yang
perlu mendasari persoalan ini berbanding berbicara soal kepuasan (utility) diri
sendiri.
Justeru itu, pemahaman konsep ini
secara tidak langsung telah mengubah pemikiran saya terhadap makna hadis yang
saya coretkan di awal penulisan ini.
Sekiranya manusia yakin dengan
rezeki Allah, maka soal memberi keringanan pada saudara lain bukanlah satu
bebanan.
Kita seringkali melihat manusia yang
bertungkus lumus dalam soal mencari sumber pendapatan, meningkatkan taraf hidup
ke peringkat yang tertinggi dalam masyarakat, namun cukup terleka dalam
memenuhi keperluan asas dalam agama, akal dan juga keturunan yang seharusnya
bergerak seiring dengan soal harta dan jiwa.
Para peniaga lebih rela mencipta
nama dan mengejar kekayaan berbanding cuba berusaha menggunakan kelebihan yang
ada untuk membantu orang lain.
Penekanan mengenai elemen akal juga
hanya terhad kepada strategi bagaimana untuk menjana kekayaan yang lebih besar
lagi, tidak pula bagaimana untuk memenuhi keperluan asas orang lain dan
akhirnya memberi kebaikan kepada masyarakat termasuklah dirinya sendiri.
Maslahah berbentuk inilah, rezeki
yang jarang sekali terlihat.
Hakikatnya, rezeki tidak hanya
melingkari soal kekayaan harta yang bertimbun serta jodoh yang baik sahaja
tetapi mencangkupi ruang lingkup kehidupan yang aman dan tenang, bahagia
menuntut ilmu dan mempunyai keturunan yang baik juga adalah sebahagian daripada
rezeki juga.
Jika bertekad menjadi kaya,
Biarlah seiring dengan memberi,
Apa gunanya hidup berharta,
Jika mati dijilat api.
Rezeki yang hakiki mempunyai
definisi yang tersendiri.
Mengertilah dan lebarkanlah erti
rezeki yang sebenar.
-05/01/2016-
No comments:
Post a Comment