Bibliophilia Siri 86: Unbroken (2014)

Kredit Foto: Google
Filem “Unbroken” arahan Angelina Jolie merupakan sebuah filem epik yang diadaptasi dari kisah benar yang berlatarbelakangkan peristiwa Perang Dunia ke-2. Filem ini dibintangi oleh Louis Zamperini, lakonan Jack O’Connell yang merupakan atlet Olimpik terkenal sebelum dia menjadi tahanan perang di kem Omori yang terletak di sebuah kepulauan Tokyo.

Di dalam filem ini, terdapat beberapa babak menarik yang dapat dimanifestasikan ibrahnya buat tatapan dan juga pedoman hidup. Filem ini saya kira cukup unik kerana ianya tidak menjadikan kisah perang sebagai dominasi babak dalam pengisahannya tetapi menjadikan rentetan kelangsungan hidup seorang tahanan perang sebagai babak utama dalam kisah ini. 

“Sedetik kesukaran sangat berbaloi dengan sebuah kemenangan seumur hidup”. Ini merupakan ungkapan bicara Pete, abang Louis, di saat mereka berdua berada di stesen kereta api sebelum Louis berangkat pergi bagi meneruskan perjuangannya dalam arena sukan Olimpik. Detik ini merupakan sebuah kejayaan bagi seorang abang yang mampu mendidik adiknya yang pada asalnya mempunyai kelakuan yang sangat buruk dan seringkali gigih melarikan diri daripada masalah yang dihadapinya. Hubungan ini tidak cukup didefinasikan sebagai hubungan kekeluargaan sahaja malah lebih daripada itu. Lebih tepat, abangnya bukan sahaja berperanan sebagai abang kepada seorang adik, malah sebagai pendidik dan pemberi motivasi kepada adiknya sendiri sehinggakan adiknya cukup menghargai kehadiran serta pengorbanan yang dilakukan oleh abangnya.

Selain itu, terdapat tiga tema yang diangkat melalui filem “Unbroken” ini iaitu kelangsungan hidup (survival), daya tahan (resilience) dan penebusan (redemption). Setiap satu tema ini cukup untuk menceritakan hampir keseluruhan kronologi kisah epik ini. Bermula dengan survival Louis ketika mana dia bersama sahabat yang lain menaiki pesawat B-24 pembebas pengebom (B-24 Liberator Bomber) untuk melakukan misi pencarian tentera yang hilang tanpa dikesan. Malangnya, dalam pencarian tersebut, enjin pesawat mereka rosak dan menyebabkan pesawat mereka terhempas di tengah lautan Pasifik, 850 batu dari Selatan Ouhu, Hawaii. Hanya tiga orang yang terselamat termasuklah Louis sendiri. Di sinilah bermula kelangsungan hidup mereka di atas rakit, berada di tengah-tengah lautan selama hampir 45 hari sebelum dijumpai oleh tentera jepun dan dibawa ke kem Omori sebagai tahanan perang.

Tema kedua yang dibawa oleh filem ini membawa sebuah nilai penerapan yang cukup mapan di mana terdapat banyak adegan kejam yang dimainkan oleh Watanabe (The Bird), lakonan Miyavi, terhadap tahanan-tahanan perang. Hanya ketahanan fizikal dan mental menjadi bekalan terakhir bagi tahanan perang untuk terus hidup di dalam kem yang menjadikan penderaan secara berterusan sebagai alat serta hiburan untuk memperoleh maklumat dan strategi ketenteraan pihak musuh. Elemen penebusan  di sini dapat dizahirkan melalui pembebasan tahanan-tahanan perang di saat-saat akhir dimana nyawa mereka ibarat berada di hujung tanduk. Inilah tema terakhir daripada ketiga-tiga tema yang sejujurnya dari pandangan saya, membawa jalan cerita ini kelihatan tersusun dengan baik.

Bibliophilia Siri 86
Di samping itu, jelas tersurat di dalam filem ini, terdapat satu babak tragis di mana Watanabe memberi ancaman kepada Louis dengan memaksanya mengangkat batang besi yang berat dan menjunjungnya di atas kepala. Sekiranya Loius gagal melakukannya, dia bakal dibunuh. Dalam keadaan yang cukup kritikal, secara teori asasnya, sukar untuk seseorang itu melaksanakan hukuman tersebut. Namun, reaksi Louis cukup berbeza di dalam babak ini. Dia berjaya bertahan lama dengan hukuman tersebut dan membuatkan Watanabe terasa dipermainkan olehnya. Lantas, atas sikap ego seorang ketua kem tahanan perang, Louis dibelasah teruk olehnya. Natijah, latihan yang diterima baik oleh Louis di dalam latihan ketenteraannya membuatkan dia mampu mengawal mental dengan baik meskipun fizikalnya telah didera dengan teruk.

Tambahan pula, prinsip kerahsiaan yang disemai di dalam diri Louis melalui rutin hari-harinya dalam latihan ketenteraan menjadikannya tidak mudah untuk berkompromi dan bertolak ansur dengan pihak musuh. Atas faktor autoriti Louis sebagai seorang atlet negara, dia ditawarkan pangkat dan kesenangan tetapi harus mengikut telunjuk pihak Jepun. Namun, kesetiaannya kepada negara tercinta, dia tega menolak tawaran tersebut meskipun dia mengetahui bahawa keputusannya bakal mengundang bahaya ke atas dirinya atas tekad yang dipilihnya. Kesudahannya, sekembali Louis ke kem Omori, Watanabe mengarahkan seluruh tahanan perang untuk memberi satu tumbukan terbaik kepada Louis.

Pengajaran akhir yang boleh dilihat melalui filem ini ialah Louis serta tahanan perang yang lain mengajar satu nilai yang cukup besar kepada penonton yang celik mengenai mesej yang ingin disampaikan. Dari konteks sebagai seorang pendakwah, cabaran dan ujian sememangnya sentiasa ada untuk mereka. Oleh itu, latihan dan persediaan (antaranya ialah tazkiyatun nafs iaitu penyucian jiwa) perlu dilakukan secara berterusan agar mampu menampung sedikit sebanyak kepahitan ujian yang bakal ditempuhi dalam perjuangan sepertimana latihan ketenteraan yang intensif dapat memberikan fizikal dan mental yang ampuh dalam menghadapi kekejaman rejaman hukuman.

Kesimpulannya, sesuai dengan tajuknya, "Unbroken", nilai semangat yang tidak pernah luntur untuk meneruskan kelangsungan hidup ini seharusnya dijadikan tauladan agar sukar mengoyahkan pendirian serta kejituan fizikal dan mental kita tatkala ujian datang bertamu. 


-02/04/2016-
spacer

Rezeki: Evolusi Makna Diri

Terdapat satu hadis Nabi yang cukup tidak asing lagi pada pendengaran kita, yang membicarakan tentang kelebihan terlibat dengan perniagaan.

9 daripada 10 pintu rezeki datangnya daripada perniagaan

Sumber: www.rumahkeluargaindonesia.com

Selama ini, saya sering mendefinisikan perkataan rezeki itu sebagai keuntungan, kekayaan serta hasil berlipat ganda yang datangnya daripada titik peluh serta keringat daripada aktiviti perniagaan.

Namun, kini saya mula sedari, definisi saya selama ini kurang tepat. Nilai makna aksara rezeki itu sendiri mempunyai nilai kandung maksud yang cukup besar.

Karya M. Fahim Khan dan Noor Muhammad Ghifari dalam sebuah artikel yang bertajuk “Shatibi’s Objectives of Shari’ah and Some Implications for Consumer Theory” (Objektif Shariah Shatibi dan Implikasi kepada Teori Pengguna) sedikit sebanyak mengubah sarwa pandang saya mengenai hadis ini.

Di dalam konsep ekonomi konvensional yang dipelajari pada awal semester, apabila mula bergelar sebagai mahasiswa, saya didedahkan dengan konsep ketidakcukupan (scarcity).

Bagi memenuhi kemahuan serta kehendak yang tiada batasan (unlimited wants), kekurangan sumber (limited sources) menjadi batu penghalang kepada tujuan tersebut.

Akhirnya, berlaku pilihan dalam memenuhi kehendak dengan memanfaatkan sumber bekalan yang ada.

Inilah konsep ekonomi yang cukup asas dipelajari ketika bergelar pelajar asasi dahulu.

Ditambah pula dengan pembacaan yang terhad serta kurang minat dalam meneroka lebih mengenai ilmu bidang ekonomi ini membuatkan pemahaman saya berada di tahap yang sama selama beberapa tahun ini.

Pernah juga saya menemukan di dalam subjek “Foundation of Islamic Economic” yang mengatakan bahawa, penggunaan sumber, dari sudut pandangan Islam, sebenarnya tidaklah terhad sepertimana yang saya pelajari pada awalnya.

Namun, perbezaan ideologi ini tidaklah saya kaji secara mendalam demi mengurangkan keserabutan yang timbul hasil daripada percanggahan ini.

Penerokaan pada kali ini sedikit berbeza.

Saya sendiri tidak pasti, apakah daya penarik utama yang menyebabkan saya cuba memahami pendekatan yang dijelaskan dalam artikel milik M. Fahim Khan dan Noor Muhammad Ghifari ini.

Artikel mereka berdua banyak membicarakan tentang Maqasid al-Shariah yang diulas secara terperinci oleh Imam al-Shatibi dan mengaitkan konsep ini dengan sifat serta kelakuan pengguna atau pembeli.

Saya tidak berniat untuk mengulas lanjut mengenai Maqasid al-Shariah ini kerana terlalu banyak sumber yang boleh diperolehi untuk mengetahui kandungannya.

Namun begitu, saya cukup berminat dengan konsep perbahasan mengenai kelakuan pengguna yang diutarakan dengan jelas dalam artikel ini.

Dengan laras bahasa Inggeris yang mudah, tidak terlalu sukar untuk memahami keseluruhan teks artikel ini.

Di dalam artikel ini, Imam al-Shatibi mengulas persoalan berkaitan dengan masalah ekonomi manusia (economic problem of man) yang dibahagikan kepada tiga cabang persoalan iaitu apa yang nak dihasilkan (what to produce), bagaimana untuk menghasilkannya (how to produce) dan untuk siapa dihasilkan (for whom to produce), dalam pengulasan yang cukup berbeza dengan pemahaman saya sebelum ini.

Ekonomi konvensional secara alami menyasarkan soal kecekapan (efficiency) dalam merungkai permasalah ekonomi manusia.

Berbeza dengan ekonomi Islam, kecekapan bukan perkara pokok dalam menjawab persoalan tersebut, tetapi meletakkan peranan memenuhi keperluan (fulfilling needs) sebagai asas jawapan kepada persoalan ini.

Ternyata apabila berbicara mengenai keperluan asas yang perlu dipenuhi, secara automatik, soal kehendak menjadi perkara kedua yang hadir selepas keperluan.

Apabila mengungkap soal melengkapi perkara asas menjadi yang utama, mahu tidak mahu, kebaikan (maslahah) yang perlu mendasari persoalan ini berbanding berbicara soal kepuasan (utility) diri sendiri.

Justeru itu, pemahaman konsep ini secara tidak langsung telah mengubah pemikiran saya terhadap makna hadis yang saya coretkan di awal penulisan ini.

Sekiranya manusia yakin dengan rezeki Allah, maka soal memberi keringanan pada saudara lain bukanlah satu bebanan.

Kita seringkali melihat manusia yang bertungkus lumus dalam soal mencari sumber pendapatan, meningkatkan taraf hidup ke peringkat yang tertinggi dalam masyarakat, namun cukup terleka dalam memenuhi keperluan asas dalam agama, akal dan juga keturunan yang seharusnya bergerak seiring dengan soal harta dan jiwa.

Para peniaga lebih rela mencipta nama dan mengejar kekayaan berbanding cuba berusaha menggunakan kelebihan yang ada untuk membantu orang lain.

Penekanan mengenai elemen akal juga hanya terhad kepada strategi bagaimana untuk menjana kekayaan yang lebih besar lagi, tidak pula bagaimana untuk memenuhi keperluan asas orang lain dan akhirnya memberi kebaikan kepada masyarakat termasuklah dirinya sendiri.

Maslahah berbentuk inilah, rezeki yang jarang sekali terlihat.

Hakikatnya, rezeki tidak hanya melingkari soal kekayaan harta yang bertimbun serta jodoh yang baik sahaja tetapi mencangkupi ruang lingkup kehidupan yang aman dan tenang, bahagia menuntut ilmu dan mempunyai keturunan yang baik juga adalah sebahagian daripada rezeki juga.

Jika bertekad menjadi kaya,
Biarlah seiring dengan memberi,
Apa gunanya hidup berharta,
Jika mati dijilat api.

Rezeki yang hakiki mempunyai definisi yang tersendiri.

Mengertilah dan lebarkanlah erti rezeki yang sebenar.

-05/01/2016-
spacer